Etika Pemakaian Yang Sesuai Ketika Menghadiri Temuduga - Lelaki | Apakah pakaian yang sesuai dipakai ketika menghadiri temuduga samada di perkhidmatan kerajaan atau swasta? Apa etika pemakaian yang sesuai? Kali ini admin ingin tumpukan kepada pemakaian untuk calon lelaki. Admin akan kongsikan untuk Etika Pemakaian Yang Sesuai Ketika Menghadiri Temuduga - Wanita untuk entri yang akan datang.
Mesti ramai calon yang akan gementar untuk menghadiri temuduga samada untuk pertama kali atau pun sudah lebih dari sekali. Oleh itu, calon hendaklah mempersiapkan diri dari segi fizikal dan mental. Selain daripada itu, pemakaian turut memainkan peranan penting. Pendek kata, penemuduga akan melihat kali pertama calon dari segi pemakaiannya.
Berikut merupakan panduan pakaian yang sesuai ketika temuduga.
Kemeja
Untuk ke tempat temu duga, anda harus mengenakan kemeja berlengan panjang kerana ia sesuai dengan tali leher. Warna kemeja yang sesuai untuk anda pakai ialah putih dan cerah, walaupun masing-masing mempunyai cita rasa dari segi corak dan warna peribadi.
Warna putih dan tona cerah juga sesuai jika dipakai dengan kot hitam atau gelap. Kemeja hendaklah digosok supaya menampakkan kekemasan dan kesegakan anda.
Tali Leher
Pemakaian tali leher amat dititikberatkan ketika menghadiri temu duga. Penampilan kurang lengkap jika tidak mengenakannya.
Pemilihan tali leher harus bertentangan dengan warna baju dan mempunyai hujung yang tajam. Apabila dipakai, bahagian hujung tali leher mestilah pada aras kepala tali pinggang.
Jika berhasrat menggunakan pin tali leher, gunakan yang sesuai dan warna yang berkilat untuk menambahkan kekemasan anda. Pin tali leher hendaklah disematkan pada tali leher dan kedudukannya hendaklah di tengah-tengah kocek baju. Jika mengenakan kot, pin itu harus berada separas pada bahagian atas kocek baju.
Seluar Panjang
Seluar panjang anda hendaklah selesa dipakai ketika menghadiri temu duga. Seluar yang ditempah di kedai sesuai kerana ia diukur mengikut bentuk badan anda. Gunakan seluar yang berwarna gelap dan tanpa corak supaya mudah dipadankan dengan baju, stokin dan kasut. Seluar juga perlu digosok supaya lebih kemas.
Elakkan daripada mengenakan seluar jeans atau corak yang berkotak-kotak untuk menghadiri temu duga kerana ia amat tidak sesuai. Perlu diingat, anda ke tempat temu duga kerja, bukannya ke tempat awam atau bermain golf.
Tali Pinggang
Ketika ke tempat temu duga, anda boleh mengenakan tali pinggang daripada jenis kulit, manakala kepalanya jenis yang kecil dan berbentuk empat segi tepat. Tali pinggang harus dikilatkan supaya kelihatan kemas dan cantik. Sebaik-baiknya warna gelap dan sewarna dengan warna kasut. Anda tidak perlu mengenakan tali pinggang jika seluar tidak mempunyai ruang pengikatnya.
Sapu Tangan
Jangan lupa untuk membawa sapu tangan. Ia amat berguna ketika anda berpeluh. Kemungkinan apabila anda dalam keadaan tertekan atau gugup sebelum atau ketika temu duga, peluh akan mengalir keluar. Sudah tentu sapu tangan amat membantu anda. Sapu tangan juga dapat mengeringkan tapak tangan selepas membasuhnya di tandas.
Lounge Suit
Anda juga boleh mengenakan lounge suit ke tempat temu duga. Apabila ingin menempahnya, dapatkan pandangan dan nasihat tukang jahit atau jurujual sebelum membuat keputusan. Anda perlu berhati-hati dari segi memilih jenis kain, warna, corak dan potongan yang hendak ditempah. Apatah lagi kos untuk membuat pakaian itu agak mahal. Warna yang sesuai ialah hitam atau biru gelap. Mengenakan lounge suit ke sesi temu duga akan menambahkan kesegakan dan keyakinan anda dari perspektif penemu duga.
Singlet
Anda juga boleh memakai singlet tanpa lengan dan berwarna putih. Ia amat sesuai bagi yang berbadan kurus dan cepat berpeluh. Dengan memakai singlet dapat mengelakkan baju kemeja anda lembap atau basah akibat berpeluh.
No comments:
Post a Comment